Lee Kim Chuan (kanan) dan beberapa penghuni menunjukkan sebahagian jubin permukaan
luar kediamannya yang rosak di Town Villa, Taman Bukit Cheras kepada Lim Heng Lin, baru-baru ini.
Seorang penduduk, Lee Kim Chuan, 53, berkata, jubin pada bahagian luar rumahnya telah rosak dan terkeluar walaupun belum dua tahun menetap di rumah itu.
Katanya, dia yang tidak berpuas hati dengan kerja-kerja pemasangan jubin yang dianggap tidak sempurna itu telah membuat aduan pada pemaju kira-kira dua bulan lalu.
"Bukan sahaja saya terpaksa menunggu jawapan lebih sebulan lamanya, tetapi lebih mengecewakan alasan yang diberi pemaju ia bukan lagi dibawah tanggungjawab mereka," katanya ketika ditemui di lokasi di sini baru-baru ini.
Menurut Khim Chuan, pemaju memberi alasan bahawa rumah ini sudah tamat tempoh liabiliti, jadi pemaju tidak bertanggungjawab dalam hal itu.
Utusan Malaysia difahamkan, selain masalah keretakan jubin, beberapa unit kediaman di kawasan di situ mengalami kebocoran pada bahagian dinding sehingga menyebabkan setiap kali hujan dinding diresapi air.
Sementara itu, Pengarah Pusat Perkhidmatan Parlimen Bandar Tun Razak, Lim Heng Lin berkata, dia telah menghubungi pihak pemaju dan meminta agar rumah penduduk terbabit dapat dibaiki.
Beliau berkata, bagaimanapun pihak pemaju mahu menyemak dahulu mengenai perkara itu.
"Pemaju haruslah bertanggungjawab dalam hal ini kerana penduduk telah menjelaskan masalah jubin itu adalah disebabkan oleh kerja-kerja pembinaan yang kurang baik.
"Sekiranya pemaju mahu menyelesaikan perkara ini dengan baik maka kita akan berterima kasih dan jika tidak kita akan fikirkan langkah seterusnya," ujarnya.